BTS Media

Baling: Banjir kali ini paling buruk

https://youtu.be/n6WKgkE2iT0

“AIR naik terlalu cepat hingga lebih satu meter, saya dan kedua ibu bapa bersama jiran terpaksa naik ke bukit di belakang rumah untuk selamatkan diri,” kata Adam Mokhtar, 20.

Mangsa banjir dari Kampung Iboi itu berkata, kejadian banjir kali ini dianggap paling buruk dalam hidupnya apabila menyaksikan banyak kerosakan berlaku apabila kepala air turut menghanyutkan kayu.

Katanya, sehingga malam ini, dia masih tidak mengetahui keadaan di dalam rumahnya berikutan terputus bekalan elektrik selain kawasan sekitar rumah dipenuhi kayu.

“Sekarang kami berlindung di dalam masjid yang terletak di kawasan bukit di belakang rumah saya, rumah saya masih dalam keadaan baik, namun terdapat beberapa rumah jiran musnah akibat kejadian kepala air kira-kira jam 4.30 petang semalam.

“Jambatan di sungai berhampiran rumah juga musnah, semua orang rasa panik melihat kepala air petang tadi, kami hanya fikir untuk selamatkan diri,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Adam berkata, dia sangat bersyukur kedua ibu bapanya selamat dalam kejadian itu apabila mereka terlebih dahulu naik ke atas bukit.

Katanya, dia tidak dapat menyelamatkan sebarang dokumen penting dan barangan berharga di dalam rumah kecuali motosikal.

“Air banjir datang bersama lumpur, keadaan sekarang sangat gelap, saya bersama kira-kira 50 orang penduduk masih berada di dalam masjid.

“Air sudah surut kira-kira 5.30 petang tadi, tapi kami tak dapat ke mana-mana dan masih tunggu untuk diselamatkan,” katanya yang tinggal kira-kira 200 meter dari Sungai Kupang.

Difahamkan kejadian banjir kali ini adalah kali kelima pada tahun ini dan paling buruk di kampung berkenaan.

Baca lagi: https://www.msn.com/en-my/news/berita/terpaksa-panjat-bukit-untuk-selamatkan-diri/ar-AAZbmKB?ocid=msedgntp&cvid=b8b04875111b4d58929458c4f111813e

Leave a Comment