BTS Media

Isyarat sulung dipancar ke bumi dari satelit Measat-3d

GAMBAR ATAS: Arianespace.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

Isyarat telemetri Measat-3d pertama yang diterima tepat pada pukul 6.41 pagi Khamis (23 Jun), menandakan pelancaran satelit itu berfungsi sepenuhnya.

Anjakan bersejarah itu diumumkan pada satu majlis di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) dengan disaksikan oleh beberapa ratus tetamu melalui siaran langsung dalam talian dari Pusat Angkasa Guiana, di French Guiana Perancis, Amerika Selatan.

Satelit yang dibawa oleh roket Ariane-5 itu dilancarkan pada pukul 5.50 pagi waktu Malaysia (6.50 petang waktu tempatan pada 22 Jun), setelah ditangguhkan selama 47 minit untuk pemeriksaan tambahan.

Pemisahan pertama Measat-3d daripada roket itu berlaku pada 6.19 pagi waktu Malaysia dan yang kedua, pada 6.34 pagi, sebelum isyarat pertama yang dihantar dari angkasa ke bumi diterima tujuh minit kemudian.

Satelit berharga RM1.2 bilion yang tercanggih dalam siri satelit Measat itu dijangka akan mampu merapatkan jurang sambungan digital, dan meningkatkan keupayaan rangkaian komunikasi negara.

Measat-3d juga memanfaatkan negara jiran, termasuk Indonesia dan India kerana liputan pancaran isyarat lebih luas.

-BTS Media

Leave a Comment