Oleh Yusoff A. Shariff
Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) mula mengimport ayam bulat daripada pengeluar ayam dengan stok simpanan pertama sebanyak 21 tan metrik dijangka tiba hari ini (Sabtu 18 Jun).
Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), dalam satu kenyataan berkata bekalan itu diimport daripada pengeluar ayam yang telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
“Bekalan ayam seterusnya akan dibawa masuk ke negara ini pada Isnin (20 Jun), iaitu tiga kontena yang akan diletakkan di bilik penyejuk beku Nafas di Sungai Bakap, Pulau Pinang,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, LPP melalui Nafas dan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) diberi tugas utama melaksanakan program stok penimbal ayam bagi menstabilkan keperluan bekalan ayam negara.
Menurut LPP, program itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan PPN, khususnya dari segi penggunaan kemudahan bilik sejuk.
Selain itu, LPP berkata pengagihan ayam akan dilakukan melalui PPN, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan rangkaian FAMA, manakala LPP akan memantau pelaksanaan penjadualan import oleh Nafas.
PPN Selangor, PPN Johor dan PPN Perak telah dipilih untuk membantu Nafas dalam melaksanakan program tersebut dan PPN lain juga akan menyertai berdasarkan keperluan semasa.
-BTS Media