PENGGEMAR dessert (pencuci mulut) dijangka perlu membayar lebih untuk menikmati pastri dan kek kegemaran mereka kerana harga telur akan berubah-ubah selepas Jun.
Pembuat roti dan pengeluar makanan menjangkakan kenaikan harga itu susulan pengumuman kerajaan baru-baru ini untuk mengapungkan harga telur dan ayam.
Bagaimanapun, mereka akan menyerap kos jika jumlahnya kecil.
Pembuat roti dan kek Justin Lai, 42, berkata keadaan turut mengambil kira faktor lain, seperti kenaikan harga bahan dan kejatuhan nilai ringgit, dan harga telur yang dijangka meningkat, lapor The Star.
Dia berkata, harga roti dan kek kini telah meningkat sebanyak 6 peratus hingga 10 peratus sejak pertengahan tahun lalu.
“Jika harga telur naik lagi, saya rasa akan berlaku satu lagi pelarasan harga selepas bulan Jun,” katanya.
Lai, bagaimanapun berkata dia lebih mementingkan bekalan telur yang stabil berbanding perubahan harga.
Presiden Persatuan Peniaga Bakeri, Biskut, Kuih-muih, Mee dan Kuay Teow Malaysia Lai Yee Kein berkata telur adalah bahan utama dalam pembuatan mi wantan.
“Membuat mi memerlukan banyak telur. Jika harga (telur) naik, kos pasti akan naik juga,” katanya kepada The Star.
Dia, bagaimanapun, percaya masih terlalu awal untuk memperkatakan tentang kenaikan harga itu kerana pelan pengapungan tidak akan dilaksanakan untuk beberapa bulan lagi.
Presiden Persekutuan Persatuan Peladang Ternakan Malaysia Tan Chee Hee berkata bekalan telur dan ayam boleh distabilkan pada Jun.
Walaupun begitu, dia menegaskan bahawa harga makanan itu tidak akan turun berikutan kenaikan kos makanan ayam, yang merangkumi kira-kira 60 peratus kos pengeluaran.
Dia berkata, harga jagung kini kekal tinggi, iaitu RM1,600 untuk satu tan, berbanding hanya RM800 satu tan sebelum 2020.
Tan menggesa supaya kerajaan menyediakan pinjaman mudah kepada penternak ayam untuk menaik taraf kemudahan pengeluaran mereka.
-BTS Media