Kerajaan perlu menyegerakan pengumuman pelaksanaan program inisiatif perlindungan sosial suri rumah bagi membela nasib golongan tersebut.
Setiausaha Wanita Perikatan Nasional (PN), Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, seperti diumumkan sebelum ini, kerajaan telah bersetuju supaya suri rumah dilindungi menerusi Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang bermula tahun ini.
Menurutnya, usaha kerajaan bagi melindungi nasib suri rumah di negara amat dipuji untuk membela nasib golongan itu sekiranya ditimpa musibah dan insiden tidak diingini.
Katanya, namun diharapkan skim keselamatan itu dapat dipercepatkan dan diumumkan dalam masa terdekat.
“Inisiatif menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ini sudah tentu amat baik dan bermanfaat untuk suri rumah di negara ini.
“Suri rumah berkorban segala-galanya untuk keluarga, mereka membantu suami menguruskan rumah tangga sepanjang hari, tanpa cuti.
“Ada juga yang membantu suami mencari rezeki dengan berniaga kecil-kecilan, namun apakah yang ada untuk mereka dan keluarga sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Nolee Ashilin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri meminta Perkeso turut mempermudah proses permohonan inisiatif itu seperti Program Kasih Suri Keluarga Malaysia (i-Suri).
Menurutnya, pasti ramai kalangan wanita di negara ini mahukan skim itu dilaksanakan segera demi kesejahteraan keluarga dalam tempoh yang amat mencabar ketika ini.
“Sehubungan itu saya meminta supaya inisiatif yang bakal memanfaatkan lebih 2.99 juta wanita itu disegerakan pelaksanaannya supaya golongan tersebut mendapat manfaatnya,” ujarnya.
Nolee Ashilin yang juga Exco Srikandi BERSATU berkata, Wanita PN juga telah membangkitkan kedua-dua isu itu pada mesyuarat tertinggi organisasi itu minggu lepas yang dipengerusikan oleh Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Seri Rina Mohd. Harun .
Kata Nolee Ashilin, Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menyatakan komitmen untuk membawa kedua-dua isu tersebut ke perhatian Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.
Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada Rina, yang juga Ketua Srikandi Bersatu kerana telah memberi kepercayaan dan melantiknya sebagai Setiausaha Wanita PN yang mula berkuat-kuatan minggu lepas.