GAMBAR: Twitter.
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mendesak Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein segera bertindak menyelesaikan tuntutan pesara tentera yang meminta kerajaan menyelesaikan isu kebajikan mereka.
Katanya, isu kebajikan pesara tentera beberapa kali dibangkitkan beliau dan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) sebelum ini namun ia belum diselesaikan.
“Usah abaikan suara golongan veteran ATM yang telah banyak berjasa kepada negara kita,” katanya dalam kenyataan.
Anwar berkata, tindakan lebih 1,000 pesara tentera dari seluruh negara berkumpul di Tugu Negara pada isnin (6 Jun) bagi menyuarakan rasa tidak puas hati, terutama dalam isu kebajikan terhadap mereka jelas menunjukkan kumpulan itu tiada pilihan selain untuk menegakkan hak mereka selepas didakwa gagal mendapat perhatian Kementerian Pertahanan.
Kumpulan yang dinamakan Reunion Veteran, berkumpul antaranya menuntut agar pencen tentera yang bersara sebelum 2013 diselaraskan, serta hak untuk menerima pencen setelah berkhidmat sekurang-kurangnya 10 tahun.
Menurut mereka, di bawah skim sekarang, kebanyakan daripada 300,000 pesara tentera hidup susah dan termasuk dalam kategori B40.
Dalam perhimpunan secara aman itu, kira-kira 500 veteran hadir, malah terdapat juga orang awam turut serta bersolidariti bersama bekas-bekas perajurit negara.