BTS Media

Kumpulan pertama pekerja Indonesia patut tiba, tapi ditangguh

Ketibaan kumpulan pertama tenaga kerja Indonesia pada 31 Mei lalu ke negara ini terpaksa ditunda ke tarikh lain, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

Saravanan menjelaskan, kumpulan itu sepatutnya tiba bersama Menteri Ketenagakerjaan Indonesia Ida Fauziah namun secara tiba-tiba beliau mempunyai acara yang lebih penting.

“Maka ia ditangguhkan ke tarikh lain,” katanya dalam sidang media pada majlis pelancaran Kempen Mencarum Perkeso Untuk Sukarelawan di ibu negara hari ini.

Saravanan berkata demikian ketika diminta mengulas penangguhan kumpulan pertama tenaga kerja Indonesia yang sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 31 Mei lalu.

Berhubung laporan mengatakan agensi Indonesia menghalang ketibaan mereka kerana isu dokumentasi dan visa, Saravanan menjelaskan terdapat salah faham antara kedua-dua pihak.

“Perkara ini sebenarnya memang dalam proses kita. Apabila kita keluarkan visa untuk datang ke Malaysia, ia tidak bererti mereka boleh terus bekerja.

“Mereka perlu lalui saringan kesihatan Fomema dan jika melepasi saringan, barulah cop pekerja akan diberikan. Namun, ada satu agensi Indonesia melihat perkara itu mengelirukan dan minta Duta Indonesia ke Malaysia membetulkan perkara ini,” katanya.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/06/03/ketibaan-kumpulan-pertama-tenaga-kerja-indonesia-ditangguh-kata-menteri/

Leave a Comment