BTS Media

Haji 2022: Kumpulan pertama 295 jemaah berlepas, tiga ditunda kerana positif Covid-19

 

Oleh Fetty Rara

Kumpulan pertama seramai 295 jemaah haji Malaysia berlepas ke Arab Saudi hari ini (Sabtu 4 Jun).

Mereka menaiki penerbangan Saudia SV5635 pada pukul 1.35 tengah hari dari lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kerajaan Arab Saudi memperuntukkan Malaysia kuota seramai 14,306 jemaah haji bagi tahun ini.

Jemaah haji Malaysia tidak dapat menunaikan haji sejak dua tahun lepas kerana pelbagai kekangan berikutan pandemik Covid-19.

Bagi tahun ini, sebanyak 48 penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia Airlines, akan membawa jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci, dengan penerbangan terakhir pada 3 Julai.

Pengarah Eksekutif Haji TH Syed Saleh Syed Abdul Rahman yang juga Ketua Rombongan Haji Malaysia memberitahu media pihaknya berpuas hati dengan proses lapor diri bagi penerbangan pertama itu.

Tiga jemaah daripada kumpulan pertama itu didapati positif Covid-19

Bagaimana pun, menurut beliau tiga jemaah daripada kumpulan pertama itu didapati positif Covid-19 setelah menjalani ujian tindak balas berantai polimerase (RT-PCR).

“Mereka dah maklumkan pada kami lebih awal dan kami menasihati mereka supaya melalui proses dan prosedur yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM), yang mana mereka perlu menjalani kuarantin yang sepatutnya.

“Selepas itu apabila mereka tiada lagi simptom-simptom, mendapat nasihat dari KKM dan kalau keputusan RT-PCR negatif dan penerbangan masih ada, kita akan cuba sedaya upaya dapatkan penerbangan untuk bawa mereka ke Tanah Suci,” katanya.

Syed Saleh menasihati bakal jemaah haji untuk mengambil ujian RT-PCR 56 jam sebelum melapor diri di stesen-stesen berlepas, dan segera memaklumkan kepada pihak TH sekiranya positif bagi membolehkan pihak TH membuat perancangan untuk membantu mereka menunaikan fardu haji pada tahun ini.

-BTS Media

Leave a Comment