PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dan Menteri Sumber Manusia M Saravanan supaya segera menyelesaikan isu berhubung pengambilan pekerja asing dengan kerajaan Indonesia.
Beliau berkata, isu itu perlu ditangani dan diselesakan segera supaya tidak menjejaskan hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia.
“KDN dan KSM perlu selesaikan isu ini (pengambilan dan perlindungan pekerja Indonesia) dengan segera. Saya tak nak panjang-panjang. Saya takut perkara ini boleh keruhkan hubungan kita dengan Indonesia.
“Jadi, saya kata selesaikanlah,” katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini (Jumaat 15 Jul).
Beliau diminta mengulas tindakan kerajaan Indonesia menghentikan sementara penghantaran semua pekerja dari negara itu ke Malaysia sejak 12 Julai.
Keputusan pembekuan itu dibuat oleh Indonesia kerana Jabatan Imigresen Malaysia terus menggunakan Maid Online System (MOS) walaupun syarat yang dipersetujui dalam memorandum persefahaman sebelum ini mensyaratkan penggunaan satu saluran, iaitu One Channel System (OCS) bagi mengelakkan berlaku buruh paksa.
Semalam, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, berkata negara itu boleh membatalkan MOU berhubung pengambilan dan perlindungan pekerja republik itu termasuk Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) ke Malaysia.
Beliau berkata, ini kerana MOU itu tidak dihormati memandangkan butiran yang terkandung tidak dipatuhi oleh Malaysia.
-BTS Media