BTS Media

Isu pekerja asing: PM digesa urus terus dengan Jakarta, jangan harapkan Hamzah, Saravanan

Oleh Yusoff A. Shariff

PERDANA Menteri harus berurusan dengan kerajaan Indonesia secara langsung berhubung pembekuan pekerja dari negara itu, dan bukannya menyerahkannya kepada dua menteri yang menyebabkan masalah itu pada mulanya, kata Lim Guan Eng.

Pengerusi DAP itu berkata pembekuan yang dikenakan oleh Jakarta berlaku pada masa yang salah, dengan Malaysia menghadapi tekanan inflasi, kelemahan ringgit, dan kekurangan buruh yang menjejaskan banyak sektor perniagaan.

Beliau berkata dengan negara mengalami kekurangan kira-kira 1.2 juta pekerja, industri perladangan dan sarung tangan berdepan kerugian sehingga RM21 bilion.

Menurut beliau keadaan ini mungkin lebih serius jika mengambil kira sektor lain.

Lim, dalam satu kenyataan pada Sabtu (16 Jul) berkata keadaan mendesak ini boleh diselesaikan dengan mudah dengan hanya satu tandatangan, atau campur tangan perdana menteri sendiri.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dan Menteri Sumber Manusia M Saravanan masing-masing bertanggungjawab mencetuskan masalah ini sejak awal.

Beliau berkata komuniti perniagaan dan rakyat mahukan penyelesaian segera kepada kebuntuan ini.

Lim menyifatkan respons Saravanan sebagai “menyedihkan dan tidak bertanggungjawab” berhubung jawapan Indonesia bahawa Malaysia telah melanggar syarat-syarat yang ditetapkan dalam perjanjian itu.

Terdahulu, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata Indonesia mengenakan pembekuan sementara ke atas semua pekerja Indonesia yang memasuki Malaysia kerana Jabatan Imigresen Malaysia terus menggunakan sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (MOS) untuk pengambilan pembantu rumah Indonesia.

Melalui sistem itu pekerja Indonesia dibenarkan memasuki Malaysia hanya dengan menggunakan visa pelancong sebelum memohon untuk mendapatkan permit kerja.

Di bawah memorandum persefahaman yang ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia untuk pengambilan dan perlindungan pembantu rumah, proses membawa masuk pembantu rumah hanya melalui Sistem Satu Saluran untuk melindungi hak pembantu rumah.

-BTS Media

Leave a Comment