BTS Media

Sistem pengambilan pekerja domestik Malaysia akan digabungkan dengan Kedutaan Indonesia

Oleh Fetty Rara

SETELAH sekian lama menunggu penyelesaian, akhirnya sistem sedia ada Jabatan Imigresen Malaysia akan digabungkan dengan Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur bagi proses pengambilan pekerja domestik Indonesia (PDI).

Mengumumkan ini dalam kenyataan bersama dengan Menteri Keternagaan Indonesia, Ida Fauziah di Jakarta hari ini (Khamis 28 Julai), Menteri Sumber Manusia M. Saravanan berkata susulan itu Indonesia akan menarik balik semua sekatan terhadap kemasukan pekerja ke Malaysia bermula 1 Ogos ini.

Saravanan berkata penggabungan sistem ini akan mewujudkan hanya satu saluran bagi pengambilan pekerja dan kemasukan PDI ke Malaysia, seperti yang dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani.

Beliau berkata sistem tersebut akan beroperasi dalam tiga minggu lagi di bawah penyeliaan Kumpulan Kerja Bersama Malaysia –Indonesia.

Menurut beliau satu projek perintis akan dilaksanakan untuk tempoh tiga bulan sebaik penyepaduan sistem selesai untuk memastikan pelaksanaan lancar sistem satu saluran.

Sehubungan itu, Saravanan mengingatkan majikan yang kuota pekerja asing mereka telah diluluskan oleh Kementerian Sumber Manusia supaya segera membuat pembayaran levi dengan Jabatan Imigresen Malaysia.

Majikan yang ingin menggaji pekerja Indonesia boleh merekrut mulai Isnin depan (1 Ogos), katanya.

Pada 13 Julai lalu, Indonesia mengumumkan keputusan membekukan sementara kemasukan semua pekerja negara itu kerana Malaysia tidak menggunakan sistem tunggal seperti yang dipersetujui sebelum ini.

Bagi pihak Indonesia, Ida berkata keberkesanan pelaksanaan komitmen yang terkandung dalam MoU berkenaan adalah penting sebelum Indonesia mula menghantar semula pekerja domestiknya ke Malaysia pada Ogos depan.

Beliau menyatakan persetujuan untuk mengambil semua langkah yang perlu bagi memastikan syarat dalam MoU dipatuhi sepenuhnya oleh Malaysia dengan melibatkan agensi atau institusi berkaitan kerajaan masing-masing.

-BTS Media

Leave a Comment