Cadangan Menteri Besar Perak, Saarani Mohamed supaya orang ramai menanam sayur-sayuran dan memelihara ayam sebagai antara pendekatan untuk menangani peningkatan harga bahan makanan dan kekurangan bekalan disambut dengan kritikan.
Rasional beliau bahawa sayur-sayuran boleh ditanam sendiri, sementara kambing, lembu, kerbau dan ayam juga boleh dipelihara sebagai sumber makanan dan dijual, dianggap oleh sesetengah pihak sebagai keterlaluan.
Yang dipertikaikan oleh sesetengah pihak dalam media sosial ialah isu bunyi kerbau dan ayam berkokok di sesetengah kawasan kediaman yang boleh mengundang risiko tindakan undang-undang.
Mungkin niat beliau menyatakan demikian sesuatu yang mulia dalam usaha membantu orang ramai, namun konteks apa yang diperkatakan secara menyeluruh dianggap oleh sesetengah pihak sebagai tidak wajar.
MB Perak saran rakyat tanam sayur, ternak haiwan untuk kegunaan sendiri https://t.co/MKUdIsDold pic.twitter.com/eZrXOycj47
— BERNAMA (@bernamadotcom) May 31, 2022
Beliau dipetik berkata demikian kepada media di Agrofest yang diadakan di Taman Herba Gopeng semalam (31 Mei).
Menyentuh kerjasama antara Jabatan Pertanian Perak dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) untuk membangunkan sebuah kawasan agroteknologi seluas 40 hektar di Manong, beliau berkata ia adalah bagi mengukuhkan sekuriti makanan.
Selain itu pihak PKNP juga telah memajukan projek Hab Halal Perak bagi tujuan yang sama.
Menurut Saarani, projek berkenaan juga dijangka akan menawarkan peluang pekerjaan dan membantu kerajaan negeri menambah pendapatan rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan, sejak beberapa tahun kebelakangan ini penduduk bandar, terutama di Kuala Lumpur telah memulakan inisiatif ladang bandar yang kebanyakannya menghasilkan sayur-sayuran.
Kenyataan Saarani menyusul selepas timbalan presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menasihatkan rakyat di negara ini supaya memelihara ayam di setiap rumah.
-BTS Media