GAMBAR ATAS: Asia’s Kids Star memberi peluang kanak-kanak membina keyakinan diri dan mengejar impian.
Oleh Khadijah Ibrahim
SALAH satu platform untuk mengeratkan hubungan antara dua negara adalah menerusi kebudayaan. Untuk itu Malaysia dan China menganjurkan pertandingan rasmi pertukaran budaya sempena ulang tahun hubungan dialog China-ASEAN ke-31 dan ulang tahun hubungan diplomatik China-Malaysia ke-48, baru-baru ini.
Asia’s Kids Star merupakan platform antarabangsa untuk pertukaran seni dan budaya bagi kanak-kanak berumur 3 hingga 16 tahun di Asia dan di seluruh dunia yang dijayakan dengan kerjasama N Q Cultural Commercial Sdn. Bhd., (NQCC) dari Malaysia dan Dou Kou International Media.
Turut memberi sokongan dalam menjayakan penganjuran program berkenaan adalah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.
Terlibat sama adalah Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Persatuan Pengusaha Kecil Dan Sederhana Malaysia serta sokongan dan penganjuran bersama daripada Kerabat Diraja Negeri Sembilan, Malaysia.
Asia’s Kids Star menampilkan sekumpulan kanak-kanak terpilih dari Malaysia dan China mempersembahkan beberapa tarian tradisional negara masing-masing menerusi lagu tema Asia’s Kids Star – Light Chaser.
Kepelbagaian budaya unik kedua-dua negara yang menarik dipamerkan kepada pengunjung yang berlangsung di Pawagam Mini P. Ramlee, baru-baru ini.
Hadir sama menyaksikan majlis berkenaan adalah Timbalan Presiden Persatuan Pelancongan Malaysia (MTC), Profesor Datuk Azlie Halim, Syirfan Indra Mitra Surya, Timbalan Ketua Pengarah FINAS.
Selain itu, turut dihadiri Ketua Seksyen Pendidikan Awal Kanak-Kanak Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional WPKL, Wan Zumaiza Wan Mustapha, Timbalan Presiden Kebangsaan Persatuan PKS Malaysia, Datin Dorph Peng Wen Yin.
Kini siri acara Asia’s Kids Star iaitu Awakening of Dance Souls Pertandingan Tarian Kanak-Kanak Antarabangsa, Comprehensive Talent Contest (Pertandingan Bakat) dan Film Art Independent Space Exhibition, Pertandingan Seni Kanak-kanak Antarabangsa, masih berlangsung dan mendapat sambutan hebat.
Acara hebat itu kini telah memasuki peringkat uji bakat dan pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian. Peserta yang berminat hanya perlu memuat naik video penyertaan ke pautan yang disediakan.
Lebih menarik, selain penyertaan aktif daripada kalangan kanak-kanak pelbagai kaum di Malaysia, acara berprestij ini turut menarik minat ramai kanak-kanak dari Singapura, Sweden, New Zealand, Amerika Syarikat, Korea Selatan, dan Jepun.
Penyertaan mereka bukan sahaja menampilkan aspek budaya yang berbeza, tetapi juga mencerminkan nilai teras alternatif acara Asia’s Kids Star, iaitu kepelbagaian budaya.
Walaupun berbeza warna kulit, bahasa, dan bangsa, mereka tetap memupuk semangat yang sama untuk mengejar impian dan mencapai cita-cita mereka.
Bukan itu sahaja, lagu tema Asia’s Kids Star bertajuk Light Chaser adalah gabungan usaha sama pemuzik dari empat negara berbeza, yang diketuai oleh Li Guanghong, seorang pemuzik asal dari China, bersama dengan pemuzik Taiwan, pemuzik Filipina, dan penyanyi-penulis lagu China masing-masing bernama A BEN, Kent, dan Li Guowei.
Ternyata, Asia’s Kids Star bukan sahaja memberi peluang kanak-kanak melatih dan membina keyakinan diri mereka, tetapi juga memberi mereka peluang untuk mengejar impian masing-masing.
Sebagai destinasi acara di luar negara, Kuala Lumpur akan mengadakan rakaman program CCTV di Megastar Arena pada 16 Julai 2022 untuk Gala Seni Antarabangsa Belia China-Malaysia bagi Gala Persembahan TV Pelajar Sekolah Rendah dan Menengah Antarabangsa Asia’s Kids Star 2022.
Sementara itu, kanak-kanak di China akan mengadakan sesi rakaman di Hengdian World Studios.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Antarabangsa Asia’s Kids Star, Mazlan Goh Ahmad, program tersebut bertujuan untuk mempromosi dan menggalakkan interaksi budaya kanak-kanak di negara Asia.
“Program ini bertujuan untuk mempromosi dan menggalakkan interaksi budaya kanak-kanak di negara-negara Asia dari aspek kepelbagaian.
“Lagipun kanak-kanak yang merupakan tonggak masa depan negara boleh mempromosikan seni dan budaya asli ke Asia malah dunia agar integrasi dan pengembangan pelancongan, ekonomi, fesyen, budaya Malaysia dapat digalakkan untuk meningkatkan kuasa lembut budaya kebangsaan Malaysia,” katanya.
– BTSMedia