BTS Media

Jelas butiran terperinci cadangan bina tiga lebuh raya baharu, tanpa tender terbuka

 

Oleh Yusoff A. Shariff

Kerajaan digesa perjelaskan secara terperinci cadangan swasta untuk meluluskan tiga lagi lebuh raya baharu, termasuk di kawasan Lembah Klang.

Dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming mengemukakan beberapa soalan berhubung perkara itu kepada Unit Kerjasama Swasta Awam (UKAS) di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau turut meminta dikemukakan anggaran kos pembinaan bagi setiap lebuh raya dan jumlah geran yang diperuntukkan.

Bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu turut mempersoalkan siapa pemegang konsesi bagi setiap lebuh raya ini dan sama ada mereka dipilih melalui proses tender terbuka.

Bagi mempersoalkan kelayakan syarikat konsesi berkenaan jika tiada tender terbuka dan apa kriteria mereka dilantik oleh UKAS untuk membangunkan projek lebuh raya itu semua.

“Adakah syarikat konsesi ini mempunyai pengalaman dan rekod prestasi kukuh untuk memberi keyakinan kepada UKAS bahawa mereka akan dapat melaksanakan projek ini dengan baik?

Apa terma, syarat perjanjian konsesi dan kadar tol?

“Apakah terma dan syarat dalam perjanjian konsesi, termasuk kadar tol?”katanya lagi.

Ahli Parlimen itu turut mempersoalkan sama ada tol akan dinaikkan dalam tempoh yang ditetapkan dan pampasan yang perlu dibayar kerajaan sekiranya kadar tol tidak dinaikkan.

Beliau juga meminta supaya pihak kementerian kerja raya mengemukakan kepada orang ramai untuk diteliti hasil kajian aliran trafik untuk membuktikan bahawa lebuh raya itu mampu mengurangkan kesesakan trafik di kawasan berkenaan.

Ong menekankan bahawa pembinaan  lebuh raya itu semua akan memberi kesan berpanjangan kepada landskap, masyarakat setempat dan kadar pembangunan di kawasan terbabit.

Menurut beliau projek seumpama itu hanya boleh diluluskan setelah dibentangkan secara telus dan terbuka kepada awam.

Minggu lalu, Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof berkata kerajaan telah meluluskan secara prinsip pembinaan Jalinan Penyuraian Petaling Jaya (PJD Link), Lebuhraya Bangi-Putrajaya (BPE) dan Lebuhraya Penyuraian Utara Kuala Lumpur (KL NODE).

-BTS Media

Leave a Comment