BTS Media

Banyak pembelian Kementerian Kesihatan tidak ikut SOP semasa pandemik Covid-19, akui Dr Adham

 

Oleh Fetty Rara

Bekas Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkata beliau akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah membabitkan perolehan peralatan perubatan dan ubat-ubatan semasa pandemik Covid-19.

Beliau mengakui menerima aduan mengenai perkara itu yang menunjukkan perbuatan tersebut dilakukan di peringkat pentadbiran, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata terdapat banyak proses perolehan yang tidak mengikut SOP dan terdapat kekeliruan apabila melaksanakannya.

Dr Adham menjelaskan kepada media di Serdang pada Rabu bahawa pihaknya menggunakan prosedur perolehan kecemasan apabila terdapat keperluan segera untuk menyelesaikan banyak perkara dan bagi mempercepatkan kerja.

Selain itu, beliau berkata ada benda yang perlu dipesan terlebih dahulu dan ada perkara yang memerlukan pembayaran deposit.

Menurut beliau, sebagai menteri, beliau menjaga dasar dan pelaksanaannya yang dijalankan oleh pentadbiran, dan menyenaraikan semua keperluan pelaksanaan.

Pada Selasa (24 Mei) Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata terdapat unsur rasuah yang terbongkar membabitkan perolehan peralatan perubatan dan ubat-ubatan semasa pandemik Covid-19.

Beliau berkata antaranya termasuk penyalahgunaan kuasa dalam menyalurkan bantuan, penipuan berkaitan peralatan perlindungan perubatan yang dipalsukan dan rasuah pegawai penguat kuasa ketika menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan.

-BTS Media

Leave a Comment