GAMBAR ATAS: Wikimedia Commons.
Oleh Fetty Rara
Tindakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menukar tuntutan faedah berkaitan kes-Covid-19 ke faedah penyakit khidmat dikecam oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
MTUC menyifatkan tindakan itu sebagai langkah ke belakang.
Dalam satu kenyataan pada Khamis (19 Mei), Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata alasan Perkeso adalah kerana telah beralih ke Fasa Endemik.
Menurut beliau, Perkeso sepatutnya mendapatkan maklum balas pekerja sebelum membuat pertukaran yang dianggap sebagai menyulitkan pekerja, khususnya peringkat bawahan.
Beliau menggesa supaya perdana menteri melakukan sesuatu bagi mengelakkan berlaku ketirisan dana.
MTUC mencadangkan supaya siasatan dijalankan untuk memberi keyakinan pekerja terhadap penggunaan dana di masa hadapan.
“Perlu diingat bahawa dana Perkeso adalah sumbangan pekerja dan majikan untuk menjaga kebajikan pekerja,” katanya.
Sebelum ini Perkeso mengumumkan bahawa tuntutan faedah berkaitan kes Covid-19 akan diproses di bawah kategori penyakit khidmat mulai 1 April lalu.
Selain Covid-19, antara penyakit berjangkit lain yang turut diletakkan di bawah kategori penyakit khidmat, termasuk jangkitan virus Nipah, Tuberkulosis (batuk kering) dan Leptospirosis (penyakit kencing tikus).
“Sekiranya Orang Berinsurans (OB) Perkeso ingin membuat tuntutan faedah bagi kes Covid-19, tuntutan itu masih layak dipertimbang, namun terhad kepada pekerjaan yang terdedah kepada agen biologi, dan adanya jangkitan dalam kalangan pekerja jagaan kesihatan.
“Permohonan itu akan diproses sebagai penyakit khidmat dan OB yang layak akan menerima faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan atau Skim Keilatan merangkumi faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, pencen penakat, pencen ilat dan faedah pengurusan mayat, mengikut kelayakan masing-masing,” kata Perkeso.
-BTS Media