Oleh Yusoff A. Shariff
Sekurang-kurangnya 16 orang ditembak, lima maut, dalam keganasan hujung minggu di sekitar bandar raya Chicago, Amerika Syarikat.
Jabatan Polis Chicago berkata, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut ditembak berhampiran arca terkenal, The Bean pada malam Sabtu.
Remaja itu berada di jalan raya berdekatan apabila terkena tembakan di bahagian dada pada kira-kira pukul 7.30 malam.
Mangsa dihantar ke Lurie Children’s Hospital di mana dia disahkan meninggal dunia.
Sehubungan kejadian itu, dua suspek ditahan untuk disoal siasat, dan dua senjata ditemukan, lapor ABC Eyewitness News Chicago.
Juga pada Sabtu, di bahagian West Englewood, Chicago, seorang lelaki maut ditembak pada kira-kira 4.37 petang.
Mangsa berusia 34 tahun itu terkena beberapa das tembakan ketika berjalan  South Ashland Avenue. Dia disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Chicago.
Tiada suspek dapat dijejaki dalam kejadian itu setakat ini, tetapi polis sedang melakukan siasatan.
Di Washington Park, Chicago seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ditembak mati di sebuah rumah juga pada petang Sabtu kira-kira pukul 5.35.
Mangsa yang ditembak di bahagian kepala dikejarkan ke Pusat Perubatan Chicago di mana dia disahkan meninggal dunia. Berikutan kejadian itu tiada tangkapan dibuat.
Di West Arthington, Lawndale, Chicago, seorang lelaki berusia 42 tahun ditembak pada kira-kira pukul 6.00 pagi. Mangsa yang terkena dua tembakan ke rusuk dan kaki berada dalam keadaan serius di Hospital Mount Sinai. Polis masih belum membuat sebarang tangkapan berhubung kejadian itu.
Juga di Lawndale awal pagi Sabtu, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditembak ketika berjalan seorang diri pada pukul 2:18 pagi. Mangsa ditembak dari sebuah kereta yang lalu berhampiran. Mangsa yang cedera di bahagian kaki dilaporkan stabil.
Semalam (Jumaat 14 Mei), seorang lelaki mati ditembak di Douglas Park, West Side dalam satu kemalangan jalan raya. Kedua-dua mangsa berusia 40 tahun itu kemudian diserang oleh seorang lelaki yang keluar dari kenderaannya dan meluru ke arah mereka lalu melepaskan tembakan.
Seorang daripada mangsa ditembak di bahagian perut dan di bawa ke Hospital Mount Sinai, di mana dia meninggal dunia, sementara seorang lagi di bawa ke hospital lain dan kini berada dalam keadaan stabil.
Dalam satu lagi kejadian pada Jumaat kira-kira pukul 7.24 malam, seorang remaja berusia 17 tahun ditembak mati ketika berjalan di West Englewood. Mangsa yang ditembak di bahagian dada dan ketiak disahkan mati setiba ke Pusat Perubatan Chicago.
Pada petang Jumaat, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ditembak di kepala di Garfield Park ketika berada di dalam rumahnya pada kira-kira pukul 6.50 petang. Mangsa kini dalam keadaan kritikal di Hospital Mount Sinai. Sehubungan itu polis telah menahan seorang suspek.
-BTS Media