GAMBAR ATAS: Facebook Muhyiddin Yassin.
Penyertaan Bumiputera dalam semua sektor ekonomi antara fokus utama melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2.0 yang akan dibentangkan kepada Kabinet tidak lama lagi.
Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perkara tersebut harus diberikan tumpuan penuh oleh kerajaan kerana golongan tersebut paling terkesan sejak pandemik Covid-19 melanda negara.
Beliau berkata, sekalipun negara telah memasuki Fasa Endemik mulai 1 April lalu, namun golongan Bumiputera dalam semua sektor ekonomi masih belum pulih sepenuhnya.
“Saya tekankan perkara ini dalam PPN 2.0 memandangkan golongan Bumiputera masih belum pulih ketika sektor ekonomi sudah berjalan seperti biasa. Yang berniaga kecil pun dah tak berniaga lagi, yang buat kilang pun sebahagian sudah tidak beroperasi sepenuhnya.
“Ini kerana mereka menghadapi masalah kewangan, masalah pekerja dan banyak lagi masalah yang dihadapi memerlukan kerajaan membantu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Bersatu Bahagian Alor Gajah di Melaka pada Isnin.
Pada Mac lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata, PPN 2.0 perlu bersifat luar biasa bagi mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang mantap di samping meletakkan kembali Malaysia di landasan mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.
Beliau mengesyorkan kerajaan supaya memulakan segera agenda PPN 2.0 yang mempunyai dasar dan strategi sesuai, berpaksikan pelaburan berkualiti, produktiviti tinggi serta penciptaan dan peluasan perdagangan.
Dalam pada itu, Muhyiddin menambah, pada mesyuarat MPN akan datang, pihaknya akan melihat kesan Covid-19 terhadap sektor perusahaan kecil dan mikro Bumiputera.
Beliau percaya kerajaan akan memberikan perhatian yang serius membantu golongan itu dari segi kewangan dalam bentuk modal aliran wang tunai dan perbankan.
“Kerajaan juga perlu membantu mendapatkan tenaga kerja, latihan dan sebagainya,” jelasnya.
-BTS Media