PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin memperjelaskan bahawa isu kenyataannya mengenai BN musuh politik baru-baru ini bukan satu kesilapan.
Muhyiddin berkata beliau tidak menyentuh dalam soal Islam, tetapi dalam politik, yang bermaksud sesiapa yang tidak sehaluan itu adalah ‘bukan kawan’.
“Bila saya sebut BN itu musuh, tak sebut pun memang musuh.
“Bukan musuh dalam soal Islam, kita menentang macam itu. Dalam politik, sesiapa yang tidak sehaluan itu bukan kawan kita.
“Saya tidak tafsirkan itu satu kesilapan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan di Majlis Makan Malam Bersama Pengerusi Perikatan Nasional dan Penyerahan Watikah Ketua Badan Pimpinan Kawasan (Negeri Selangor), di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata sesiapa yang tidak bersama-sama di dalam gabungan PN berdepan Pilihan Raya Umum ke-15, bermakna mereka adalah pihak lawan.
“Sesiapa tidak bersama-sama dengan kita, kita lawan dia. Kalau mereka (pihak lawan) nak bertanding, nak menentang siapa? Sudah tentu menentang kita.
“Kalau dia menentang kita, kita tentang mereka habis-habisan sampai menang. Jadi, semangat itu tidak boleh luntur,” katanya.
Pada 24 September lalu, di Majlis Ulang Tahun ke-6 BERSATU, Muhyiddin mengingatkan kepada penyokong serta pimpinan parti itu bahawa musuh utama PN pada PRU15 nanti adalah BN.
Beliau berkata ketetapan itu telah dibuat dalam parti-parti PN.
-BTS Media