Oleh Yusoff A. Shariff
Perikatan Nasional (PN) sedang mempertimbangkan sama ada akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata bahawa strategi itu akan mengelakkan pertembungan antara kedua-dua gabungan tersebut dan memastikan kemantapan untuk berdepan dengan Barisan Nasional pada PRU15.
Secara rasmi, belum ada sebarang pertemuan dengan Pakatan tetapi terdapat beberapa inisiatif yang diambil oleh pihak tertentu untuk membincangkan bagaimana PN dan PH dapat mengelak pertembungan antara satu sama lain pada PRU15, kata beliau kepada media di Pagoh, Johor pada Jumaat (20 Mei)
Muhyiddin berkata mereka belum mencapai tahap tertentu dalam mencari penyelesaian berhubung perkara ini kerana pandangan kepimpinan semua parti perlu diperoleh terlebih dahulu.
Sementara itu, Muhyiddin berkata beliau mengalu-alukan sekiranya semua parti dalam PN memulakan perbincangan mengenai peruntukan kerusi untuk PRU15 lebih awal.
PN terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan, Sabah STAR dan SAPP.
Beliau mengakui peruntukan kerusi antara parti-parti komponen PN menjadi isu dalam beberapa pilihan raya negeri yang lalu.
“Sekiranya kita boleh membincangkan kerusi mana yang akan ditandingi oleh setiap parti dalam Perikatan lebih awal, maka kita akan lebih bersedia untuk PRU15,” katanya.
-BTS Media