SAYA telah meneliti teks amanat YAB Perdana Menteri ketika melancarkan gagasan baharu “Membangun Malaysia Madani”. Gagasan ini boleh dikatakan hala tuju baharu Malaysia di bawah kerajaan PH-BN pimpinan PM-10.
Saya sebenarnya tercari-cari penekanan khusus terhadap Agenda Bumiputera dalam Malaysia Madani. Saya tak jumpa.
Adakah ia diselitkan di mana-mana, saya tak tahu.
Agenda Bumiputera terpahat dengan jelas dalam Dasar Ekonomi Baru (1970-1990), Dasar Pembangunan Nasional (1990-2000) dan Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (2020-2030).
Idea Wawasan Kemakmuran Bersama telah dikupas oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau merasmikan Persidangan Perwakilan Srikandi dan Armada BERSATU pada tahun 2018. Pada ketika itu, BERSATU berpandangan bahawa kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad memerlukan satu dasar yang jelas mengenai Agenda Bumiputera.
Akhirnya, Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) telah dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir pada 5 Oktober 2019. Pelaksanaan dasar ini diteruskan oleh kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin dan oleh kerajaan pimpinan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob selepas itu.
Di mana Agenda Bumiputera dalam Malaysia Madani?
WKB 2030 yang berasaskan konsep “Shared Prosperity” bertujuan untuk mengagih kekayaan negara secara adil dan saksama bagi mengatasi ketidaksaksamaan (inequality) antara kaum, wilayah, kelas sosial dan rantaian bekalan.
Sementara pelaksanaan WKB 2030 meliputi semua rakyat tanpa mengira kaum, tumpuan khusus diberikan kepada kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40), miskin tegar dan rentan ekonomi, masyarakat dalam transisi ekonomi, Orang Asal, Bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Kurang Upaya, belia, wanita, kanak-kanak serta warga emas. Tujuannya ialah untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dalam mengecapi nikmat pembangunan dan kemajuan negara.
Beberapa bidang utama pertumbuhan ekonomi baharu juga telah dikenal pasti untuk menjadi enjin pertumbuhan ekonomi negara bagi memacu Malaysia sebagai hab ekonomi Asia.
Sasaran WKB 2030 telah dijajarkan dengan sasaran RMK-12 yang menjadi dasar utama kerajaan sehingga tahun 2025. Pelaksanaan WKB 2030 sepatutnya diteruskan dalam RMK-13 untuk memastikan semua sasaran dasar ini dapat dicapai sepenuhnya.
Ketika menjadi PM-8, Tan Sri Muhyiddin telah menubuhkan Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama (MTKB) yang bertindak sebagai satu mekanisme pemantauan peringkat tertinggi untuk memastikan sasaran WKB 2030 dapat dicapai.
Persoalannya, adakah Malaysia Madani telah menggantikan WKB 2030? Di manakah kedudukan dasar dan agenda Bumiputera dalam Malaysia Madani?
Jika ada, apakah pelan tindakan menyeluruh yang akan diambil oleh kerajaan PH-BN dalam memacu agenda Bumiputera dan memantau pelaksanaannya?
Hal ini seeloknya dijelaskan secara tuntas oleh PM-10.
Penulis Datuk Dr Marzuki Mohamad merupakan mantan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
-BTS Media