Oleh Zainal AS Rashid
Mahkamah Rayuan Singapura pada Selasa (26 April) menolak cabaran undang-undang yang difailkan oleh ibu Nagaenthran Dharmalingam dalam percubaan terakhir untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadap anaknya.
Dengan keputusan itu maka hukuman mati ke atas warga Malaysia berusia 34 tahun kekal dijadual dilaksanakan esok (Rabu 27 April).
Panchalai Supermaniam memfailkan cabaran undang-undang untuk anaknya dengan bantuan rakan dan aktivis, tanpa diwakili oleh mana-mana peguam.
Terdahulu, semasa perbicaraan, Panchalai berkata melalui jurubahasa: “Saya ibu. Saya membuat petisyen. Kami mahu dia hidup…Kami perlu mendapatkan peguam untuk kes ini.”
Beliau ditemani oleh anak saudaranya Thenmoli Sunniah. Asas cabaran undang-undang tersebut ialah kerana Hakim Sundaresh Menon yang mendengar dan menolak rayuan Nagaenthran sebelum ini adalah Peguam Negara yang telah mendakwa Nagaenthran dan memastikan sabitannya.
Perbicaraan yang didengar di hadapan tiga hakim terdiri daripada Andrew Phang; Judith Prakash; dan Belinda Ang bermula pada 2.30 petang dan ditangguhkan kira-kira 30 minit kemudian sebelum disambung semula pada 4.30 petang untuk keputusan.
Selepas permohonan ibunya ditolak, mahkamah membenarkan Nagaentran berpegangan tangan dengan tujuh ahli keluarganya yang hadir di bilik mahkamah. Dengan berpakaian banduan warna ungu, Nagaentran kelihatan tenang ketika bercakap dengan ibu dan ahli keluarganya.
Berasal dari Perak, Nagaenthran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin pada 2009 ke Singapura.
Kesnya telah menarik perhatian dunia.
-BTS Media