Oleh Zainal AS Rashid
Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, hakim yang mendengar dan mensabitkan kesalahan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd telah membuat laporan polis berhubung dakwaan palsu terhadapnya, badan kehakiman mengesahkan pada Khamis.
Badan kehakiman melalui Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan merujuk kepada artikel penulis Raja Petra Kamarudin di blog Malaysia-Today bertarikh 20 April bertajuk “Hakim Mohd Nazlan sedang disiasat kerana RM1 juta yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun bank”.
Mohd Nazlan yang dahulunya hakim Mahkamah Tinggi dan kemudian dinaikkan menjadi hakim Mahkamah Rayuan berkata artikel itu berniat jahat dan tidak berasas.
Beliau menafikan tuduhan palsu, tidak berasas dan berniat jahat dalam artikel itu yang  bertujuan menghakis kredibiliti beliau sebagai hakim Mahkamah Rayuan dan mengganggu  sistem keadilan dan institusi kehakiman.
Laporan polis dibuat supaya siasatan boleh dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan lain-lain peruntukan undang-undang yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis (21 April).
Di bawah Seksyen 500 memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya untuk kesalahan fitnah jenayah.
Seksyen 233 merangkumi kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, termasuk mencipta atau memulakan penghantaran sebarang komen yang lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau menyinggung perasaan dengan niat untuk menjengkelkan, menyalahgunakan, mengugut atau mengganggu orang lain.
Jika didapati bersalah seseorang boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan dan denda tambahan RM1,000 sehari bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Kenyataan itu berkata pejabat tersebut memandang serius tuduhan dan komen sebegini serta mengingatkan orang ramai bahawa tuduhan terhadap badan kehakiman dengan tujuan mengganggu kes yang masih dalam proses perbicaraan adalah ‘sub judice.’
Badan kehakiman menggesa agar polis menjalankan siasatan segera bagi mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap institusi kehakiman negara dan memastikan pentadbiran keadilan dapat dilaksanakan dengan baik.
KENYATAAN MEDIA PORTAL MALAYSIA TODAY-BTS Media