Oleh Yusoff A. Shariff
Seorang warga asing yang marah dan memaki hamun serta menunjukkan isyarat lucah kepada pengawal keselamatan selepas ditegur kerana tidak memakai pelitup muka di sebuah pusat beli-belah di Jalan Ampang telah ditahan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata suspek datang ke ibu pejabat polis Wangsa Maju pada kira-kira pukul 8.30 malam Isnin (18 April) untuk memberi keterangan setelah menyedari video dia tidak memakai topeng muka tular.
“Kami menahan suspek bagi membantu siasatan lanjut dan membebaskannya dengan jaminan polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa (19 April).
Lelaki warganegara Kanada berusia 44 tahun itu bekerja dan menetap di Kuala Lumpur.
Supt Ashari meminta orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang masih belum reda.
Video 18 saat yang tular melalui TikTok dan Twitter itu dikesan pada Sabtu (16 April) dan laporan polis telah dibuat oleh pihak keselamatan pusat beli-belah berkenaan.
-BTS Media