PEMAKAIAN topeng muka tidak lagi diwajibkan di dalam ruang tertutup, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada Rabu (7 Sept).
Beliau berkata ia berkuat kuasa serta-merta, dan penggunaan pelitup muka hanya diwajibkan apabila menggunakan pengangkutan awam, termasuk dalam bas, kereta api, teksi, kapal terbang, kenderaan e-hailing serta di hospital dan institusi perubatan.
Bagaimanapun, Khairy berkata pemilik premis boleh mengenakan syarat memakai pelitup muka ke atas pengunjung premis mereka.
Walaupun penggunaan di dalam ruang tertutup tidak diwajibkan, Khairy berkata kementerian masih menggalakkan pemakaian pelitup muka ketika berada dalam kawasan sesak, seperti di pasar malam, stadium, pusat beli-belah dan tempat ibadat.
“Individu berisiko tinggi seperti warga emas, wanita hamil, serta mereka yang menghidap penyakit kronik atau imuniti rendah juga amat digalakkan memakai topeng muka.
“Individu yang melakukan aktiviti dengan kumpulan berisiko tinggi, seperti warga emas dan kanak-kanak juga dinasihatkan memakai pelitup muka,” kata Khairy.
Beliau berkata kementerian memutus untuk menghapuskan mandat pemakaian pelitup muka selepas mengambil kira keadaan COVID-19 yang semakin pulih di negara ini.
Malaysia mewajibkan orang ramai memakai topeng muka bermula pada 1 Ogos 2020.
Pada 1 Mei tahun ini, pemakaian pelitup muka tidak lagi diperlukan ketika berada di kawasan terbuka.
-BTS Media