GAMBAR ATAS: Aziz A. Shariff.
Oleh Fetty Rara
Selain Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang berkata beliau akan membuat pengumuman minggu depan, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin pula semalam membayangkan bahawa pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan selepas Hari Raya.
Beliau yang hadir pada satu acara kementeriannya berkata “Saya boleh menanggalkan topeng saya untuk bercakap, bukan? Tidak mengapa, selepas Raya, ia akan menjadi pilihan.”
Bagaimanapun, pada majlis berasingan di Hospital Putrajaya, Khairy berkata kerajaan bersedia untuk menarik balik lebih banyak sekatan peraturan pengawalan Covid-19 memandangkan keadaan pandemik di negara bertambah baik.
Ini berikutan bilangan kes semakin terkawal, kemasukan ke hospital, unit penjagaan rapi (ICU), dan kadar kematian menurun.
Banyak negara silap apabila terlalu awal mengisytiharkan kejayaan mengatasi pandemik.
Beliau berkata memandangkan keadaan ini maka kerajaan yakin untuk mengumumkan lebih banyak lagi kelonggaran peraturan Covid-19.
Malaysia mewajibkan pemakaian pelitup muka mulai 1 Ogos 2020, dan peraturan itu kekal berkuat kuasa walaupun banyak negara telah menarik balik syarat.
Khairy, bagaimanapun, mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak leka dengan Covid-19, walaupun keadaan bertambah baik.
Ini kerana banyak negara membuat kesilapan apabila terlalu awal mengisytiharkan kejayaan mengatasi pandemik tersebut.
Menurut beliau, sesetengah negara menyangka mereka telah mengatasi pandemik Covid-19, tetapi kemudian mendapati bilangan kes meningkat.
Katanya Malaysia tidak mahu menjadi seperti negara-negara itu apabila menghapuskan semua sekatan dan langkah pencegahan, tapi terpaksa berdepan dengan gelombang baharu.
-BTS Media