Oleh Yusoff A. Shariff
Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian seorang lelaki warga asing yang marah dan memaki hamun serta menunjukkan isyarat lucah terhadap seorang pengawal keselamatan setelah ditegur kerana tidak memakai topeng muka di sebuah pusat beli-belah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah dalam kenyataan hari ini berkata berikutan video 18 saat tentang kejadian berkenaan yang tular melalui TikTok dan Twitter pada Sabtu (16 April), laporan telah dibuat oleh pihak keselamatan pusat beli-belah tersebut.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).
Polis meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-9289 9222, hotline polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
-BTS Media