BTS Media

Pulau Pinang: Solat jemaah rapat saf mulai 1 April atau awal Ramadan

Gambar atas: Kredit Aziz A. Shariff

 

Pulau Pinang bersetuju mengikut saranan kerajaan pusat bagi melaksanakan solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal di semua masjid dan surau di negeri itu.

Bagaimanapun, tarikh pelaksanaannya belum diputuskan lagi sama ada dikuatkuasakan pada 1 April atau selewat-lewatnya awal Ramadan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, berkata jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini bersetuju mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan pusat.

“Kita sudah mengadakan perbincangan mengenai saranan (SOP) oleh kerajaan pusat dan kini cuma nak tentukan tarikh kuat kuasa sahaja sama ada 1 April atau awal Ramadan nanti.

Pada masa sama, kita juga akan berusaha menyelaraskan SOP terbaru peringkat Persekutuan dengan garis panduan yang dikuatkuasakan peringkat negeri,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang berkata, ketetapan untuk melaksanakan solat merapatkan saf juga dibuat selepas mengambil kira penurunan kes positif Covid-19 di negeri itu.

Terdahulu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa aktiviti solat jemaah di masjid, surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal bermula 1 April ini.

Keputusan itu dibuat susulan Malaysia akan memasuki Fasa Peralihan Endemik bermula bulan depan.

Bagaimanapun, pelaksanaan dan SOP akhir untuk masjid, surau ia tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri dan untuk rumah ibadat selain Islam, tertakluk kepada Kementerian Perpaduan serta Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain.

Berhubung majlis berbuka puasa dan moreh, Zakiyuddin berkata, kedua-dua aktiviti berkenaan turut dibenarkan diadakan.

“Kedua-dua aktiviti ini kita sudah bersetuju dan memberi kebenaran untuk diadakan tetapi kena ikut juga kesesuaian (berdasarkan SOP) dengan kapasiti anggota jemaah adalah berdasarkan luas lantai masjid atau surau masing-masing.

“Pelaksanaan solat tarawih juga boleh dilaksanakan seperti biasa mengikut SOP sedia ada,” katanya.

Leave a Comment