BTS Media

Misteri kematian Tangmo Nida, belum terungkap

Kematian Tangmo Nida masih diperkatakan oleh netizen sehingga kini.

 

Oleh Khadijah Ibrahim

Sejak berita kematiannya diumumkan, sehingga hari ini masyarakat setempat serta global masih bercerita tentang pelakon dan penyanyi Thailand, Pattarathida Tangmo Patcharaveerapong atau Tangmo Nida.

Tangmo, 38, dikatakan meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam sungai Chao Pharaya ketika mengambil gambar di kawasan Jambatan Rama VII, sekitar pukul 10.30 malam (waktu tempatan) pada 24 Februari lalu.

Mayat mendiang yang ditemui pada 26 Februari itu sepatutnya disemadi menerusi upacara pembakaran pada Isnin (14 Mac) selepas tiga hari diadakan upacara penghormatan yang berlangsung di Gereja Liberty Bangkok pada Jumaat hingga Ahad lalu.

Namun ia terpaksa ditunda kerana ibu Tangmo, Panida Sirayootyotin mendesak forensik memindahkan mayat Tangmo ke Institut Pusat Ilmu Forensik Kementerian Kehakiman.

Sewaktu upacara memperingati Tangmo Nida yang diadakan di sebuah Gereja Liberty Bangkok.

Bukan setakat ibu mendiang memprotes supaya dilakukan siasatan semula, malah peminat Tangmo turut menyuarakan pandangan mereka dengan mengadakan demostrasi di hadapan Balai Polis Thailand sebagai tanda menuntut keadilan terhadap keputusan dan hasil siasatan kematian Tangmo yang disifatkan tidak telus.

Sebelum ini, doktor di Institut Kedoktoran Forensik (IFM) mengeluarkan kenyataan bahawa hasil autopsi mendapati tiada gigi Tangmo yang patah selain tiada kecederaan mencurigakan pada bahagian kepala mendiang.

Dalam pada itu, ketua penyiasat kematian pelakon itu, Jirapat Phumjit berkata, mereka akan mengambil masa empat minggu untuk mencapai penyelesaian kes berkenaan.

Menurutnya, polis masih menunggu maklumat lanjut sebelum menutup kes berkenaan. Ia termasuk keputusan bedah siasat dari hospital-hospital di Siriraj dan Hospital Awam Polis, saksi-saksi dan bahan bukti lain.

Terdahulu polis mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung penyiasatan kematian Tangmo itu tidak mempunya unsur jenayah dan hanya sebuah kemalangan.

Bird merupaka kekasih Tangmo Nida sejak dua tahun lalu.

Kematian Tango yang dianggap misteri itu bukan saja disiasat oleh pihak berkuasa malah, peminat dan netizen juga mempunyai pandangan dan keraguan tersendiri.

Netizen termasuk di Malaysia mempersoalkan kenapa pengurus Tangmo iaitu Kratik tidak terus membuat laporan polis atau kepada ibu Tango. Sebaliknya, pengurus itu dikatakan memberitahu pihak berkenaan sehari kemudian.

Malah menurut ibu Tangmo, Kratik yang juga sahabat baik anaknya itu tidak dapat dihubungi selepas Tangmo jatuh dari kapal. Setelah kejadian, Kratik terus pulang menggunakan kereta artis tersebut dengan alasan dia rindu dengan anaknya dan memilih untuk menunggu di rumah sampai Tangmo kembali.

Justeru itu sewaktu Kratik hadir pada majlis pemakaman dan memperingati kematian aktres itu pada Jumaat (11 Mac), menerusi satu video kelihatan seorang sahabat mendiang menunjal kepala wanita tersebut.

Ketika mayat Tangmo ditemui selepas pencarian selama 38 jam, fotonya sempat tular dan netizen mempersoalkan kenapa wanita itu boleh lemas, sedangkan dia pandai berenang.

Apa yang membuatkan netizen berpendapat kematian Tangmo satu konspirasi apabila penumpang lain dalam bot tersebut memberikan lokasi kejadian yang berbeza-beza. Malah, mereka turut menghilangkan diri setelah Tangmo terjatuh dari bot.

Kematian Tangmo yang belum terungkap itu menyebabkan netizen mula meragui pihak berkuasa dan berpendapat bahawa mereka yang bertanggungjawab menyiasat kematian Tangmo dilihat cuba untuk ‘menutup’ kes tersebut.

Bird sempat membawa kotak cincin sewaktu menghadiri upacara memperingati Tangmo Nida baru-baru ini.

Selain itu, kematian Tangmo turut mengheret kekasihnya yang sudah dua tahun bercinta dengannya iaitu Bird Technic, 37. Ramai yang bersimpati dengan Bird yang dilihat begitu menyintai Tango dan sanggup membawa kotak cincin sewaktu hadir pada upacara memperingati aktres tersebut.

Bird yang masih enggan ditemu bual pihak media adalah seorang lelaki biasa dan memiliki bisnes sendiri berupa fesyen indie bernama StonerBKK.

Bird mengenal Tangmo pertama kali sekitar sembilan atau 10 tahun lalu di sebuah kedai dan seketika itu dia terpikat dengan Tangmo.

Tapi dia tak berani untuk mendekati Tangmo secara dekat kerana menyedari antara mereka jauh berbeza, hanya sempat menyapa biasa saja.

Ternyata cinta Bird pada Tangmo tidak mudah padam walaupun wanita itu telah berkahwin aktor Phakin Khamwilaisak atau Tono Phakin pada 2013 dan bercerai tahun 2015, baru Bird kembali mendekati Tangmo.

Tapi bukan ingin menjadi kekasihnya, sebaliknya Bird hanya ingin berada dekat dengan wanita tersebut. Bird sempat mengirimkan pesan pada Tangmo tapi tak dibalas. Akhirnya Bird menyerahkan semua pada Tuhan.

-BTS Media

Leave a Comment