BTS Media

Anwar nafi campur tangan kemelut diraja Negeri Sembilan, tegas pertahan sistem Raja Berperlembagaan

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim menafikan beliau cuba campur tangan dalam kemelut institusi diraja di Negeri Sembilan, sebaliknya menegaskan pendiriannya adalah untuk mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan negara.

Beliau berkata tindakan menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar tidak boleh dilakukan dengan mudah kerana ia boleh mencetuskan krisis yang lebih besar terhadap sistem Raja Berperlembagaan.

Menurut Anwar, undang-undang Negeri Sembilan menetapkan bahawa perubahan terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar hanya boleh dibuat atas alasan tertentu, termasuk sekiranya baginda mengalami ketidakupayaan mental, hilang penglihatan atau pertuturan, hilang kelayakan mengikut hukum syarak, melakukan perbuatan yang menjejaskan martabat jawatan atau dengan sengaja mengingkari Undang-Undang Tubuh Negeri.

Beliau berkata pendirian tegas Peguam Negara dalam perkara itu penting bagi memastikan proses menyingkirkan seseorang raja tidak dipermudahkan.

Anwar berkata jika perkara sedemikian dibiarkan berlaku, ia boleh membuka persoalan lebih besar mengenai kuasa kerajaan terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong.

Beliau memberikan gambaran bahawa Perdana Menteri dan Kabinet tidak boleh menentukan sendiri untuk menggantikan Yang di-Pertuan Agong hanya kerana mereka tidak bersetuju dengan baginda.

Menurutnya, Perdana Menteri merupakan ketua eksekutif yang mentadbir negara, namun kuasanya tetap mempunyai batas seperti yang ditetapkan Perlembagaan.

Beliau turut menegaskan bahawa kuasa kerajaan tidak boleh digunakan untuk meminda Perlembagaan sesuka hati, khususnya dalam perkara berkaitan Islam, bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan institusi Raja-Raja Melayu.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada program Sebarkan Salam dan Pendang Berselawat di Pondok Mujamma’ Ibn Sunni Al-Talaqqi di sini malam tadi.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau bersedia mengambil pendirian tegas dalam mempertahankan Raja-Raja Melayu bagi memastikan sistem Raja Berperlembagaan terus berjalan seiring dengan cabang eksekutif kerajaan.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa rakyat, khususnya orang Melayu, selain masyarakat Cina dan India, akan menyokong sistem sedia ada demi memastikan kestabilan negara.

Mengulas kemelut di Negeri Sembilan, Anwar berkata Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bukan baru memegang jawatan Yang di-Pertuan Besar, sebaliknya telah berada dalam kedudukan itu selama bertahun-tahun sebelum timbul usaha untuk menyingkirkan baginda.

Beliau mengakui keputusan mengenai perkara itu adalah dalam bidang kuasa Undang Yang Empat, namun menegaskan bahawa sebarang perselisihan perlu dibincangkan dengan sewajarnya dan tidak boleh dijadikan alasan untuk menyingkirkan seorang raja dengan mudah.

Anwar berkata sekiranya terdapat masalah atau perbezaan pandangan dengan seseorang raja, beliau sendiri akan memilih untuk menghadap dan menyampaikan pandangannya secara berhemah.

Beliau menegaskan bahawa institusi raja tidak sepatutnya dipermudah atau dipandang ringan kerana jika seseorang raja boleh disingkirkan dengan mudah, kedudukan institusi berkenaan di negara ini akhirnya boleh terhakis.

Pada hari Rabu lalu, Anwar menyifatkan tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam usaha menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar sebagai “biadab” dan “tidak bertamadun”.

Ismail sebelum ini mengesahkan bahawa keputusan untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar telah dibuat dan disahkan secara sebulat suara oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun, Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan kemudiannya menegas bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar yang sah.

-BTSMedia.my

Leave a Comment