BTS Media

Rais Yatim dijangka didakwa di Ayer Keroh hari ini

Bekas Presiden Dewan Negara, Tan Sri Dr Mohd Rais Yatim, dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini bagi menghadapi pertuduhan.

Berdasarkan rekod sistem e-filing mahkamah, Rais dijangka berdepan prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Perkara itu turut disahkan anaknya, Danni, ketika dihubungi, yang mengesahkan bahawa bapanya dijangka menghadapi prosiding berkenaan.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran mengenai pertuduhan yang bakal dihadapi Rais.

Rais kini merupakan Pengerusi Parti Wawasan Negara.

Perkembangan itu berlaku selepas Istana Negeri Sembilan pada Julai lalu dilaporkan menarik balik dua darjah kebesaran yang pernah dikurniakan kepada Rais.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, sebelum ini memaklumkan bahawa darjah kebesaran berkenaan ialah Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (SPNS), yang dikurniakan pada 2001, serta Darjah Dato’ Setia Negeri Sembilan (DSNS), yang diterima pada 1979.

Beliau berkata keputusan menarik balik kedua-dua darjah berkenaan dibuat atas titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Mohd Zafir, keputusan itu bertujuan memelihara kebesaran, maruah dan kehormatan institusi diraja Negeri Sembilan.

SPNS membawa gelaran Datuk Seri, manakala DSNS membawa gelaran Datuk.

Rais pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dari 1978 hingga 1982 sebelum dilantik sebagai Presiden Dewan Negara bagi tempoh 2020 hingga 2023.

Beliau turut pernah menganggotai Kabinet dan memegang beberapa portfolio, termasuk Menteri Luar, Menteri Penerangan, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

-BTSMedia.my

Leave a Comment