SEBUAH klinik desa bersama kuarters di Kampung Sumpitan, Lenggong, musnah kira-kira 90 peratus dalam kebakaran awal pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.04 pagi.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian dan mendapati bangunan berkeluasan 40 kaki x 60 kaki itu, yang digunakan sebagai klinik serta kuarters, marak terbakar.
Menurutnya, sebuah kereta yang berada berhampiran turut mengalami kerosakan, namun hanya kira-kira lima peratus bahagiannya terjejas akibat kebakaran.
Beliau berkata operasi memadam kebakaran berjaya dikawal pada pukul 4.50 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada pukul 6.24 pagi.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
Seramai 13 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong serta Batu Kurau terbabit dalam operasi itu, selain dibantu lima anggota polis dan dua kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
– BTSMedia.my



