BTS Media

Azeez didakwa guna jawatan TH untuk dapat kerusi pengerusi syarikat bergaji RM690,000 setahun

BEKAS Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, hari ini didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan jawatan pengerusi sebuah syarikat dengan ganjaran tahunan RM690,000, kira-kira 12 tahun lalu.

Abdul Azeez, 60, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Pertuduhan itu mendakwa beliau, ketika menjadi Pengerusi TH, menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana Bhd, selain kemudahan sebuah BMW 7 Series bersama pemandu sepenuh masa.

Mengikut pertuduhan, Abdul Azeez didakwa mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif TH ketika itu, Tan Sri Ismee Ismail, mencalonkannya sebagai wakil TH dalam Putrajaya Perdana Bhd.

Beliau juga didakwa meminta Ismee mempengaruhi ahli Lembaga Pengarah TH supaya meluluskan cadangan pelaburan sehingga RM193.5 juta, bersamaan sehingga 30 peratus daripada modal saham terbitan Putrajaya Perdana Bhd, sebuah syarikat yang didakwa mempunyai kepentingan dengan tertuduh.

Kesalahan itu didakwa berlaku pada 25 Ogos 2014 di Bilik Lembaga Pengarah TH, Bangunan TH, Jalan Tun Razak.

Abdul Azeez yang juga bekas Ahli Parlimen Baling didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

-BTSMedia.my

Leave a Comment