BTS Media

Bekas pengerusi NGO didakwa salah guna lebih RM576,000 dana bantuan

SEORANG bekas pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan dihadapkan semula ke Mahkamah Sesyen di Melaka hari ini dan didakwa atas tujuh pertuduhan menyalahgunakan dana pertubuhan tersebut secara tidak jujur.

Tertuduh, Mohd Hakim Mohd Nor, 39, yang merupakan bekas pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, didakwa menyeleweng dana yang dikumpul bagi misi bantuan kemanusiaan yang dijalankan bersama beberapa NGO di Myanmar, Yemen, Syria dan Palestin, melibatkan jumlah keseluruhan RM576,995.40.

Menurut pertuduhan, perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Merlimau, Jasin, antarabulan  Jun 2019 hingga Mei 2021.

Mohd Hakim mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Kesemua pertuduhan difailkan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun, sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment