BEKAS pengerusi Parti Komunis Malaya (PKM) Abdullah CD atau nama sebenarnya Che Dat Anjang Abdullah meninggal dunia hari ini pada usia 100 tahun.
Ini dimaklumkan oleh menantunya Indrajaya Abdullah.
“Bekas Pengerusi PKM dan pengasas pasukan Rejimen Ke 10 Tentera Rakyat Malaya, telah kembali ke rahmatullah pada pukul 9.29 pagi ini di Kampung Perdamaian Sukhirin, Wilayah Narathiwat dalam umur 100 tahun 3 bulan,” katanya melalui media sosial.
Untuk rekod, PKM dengan kerajaan Malaysia dan Thailand memeterai Perjanjian Damai Hat Yai pada 1989 mengakhiri konflik bersenjata lebih 40 tahun sejak darurat Inggeris 1948.
Ia juga membawa kepada pembubaran PKM dan peletakan senjata gerila komunis.
Walaupun perjanjian tersebut membenarkan bekas anggota PKM diberi bantuan untuk memulakan hidup baharu sama ada menetap di Malaysia atau Thailand namun ramai daripada mereka memilih untuk tinggal di negara jiran itu.
Baca lagi: https://www.malaysiakini.com/news/693039