BTS Media

Pelantikan Azeez sebagai pengerusi KEDA diteliti semula

LANTIKAN bekas Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Rahim sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) akan diteliti semula, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, setakat ini pelantikan tersebut belum diputuskan dan perkara itu akan dibincangkan bersama Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya akan berbincang dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid mengenai salah satu pengumuman itu yang belum dihantar surat (pelantikan rasmi).

“Ini termasuklah cadangan (Abdul Azeez) Pengerusi KEDA yang akan kita teliti semula. Jadi belum ada lantikan,” katanya kepada pemberita sempena program penyampaian Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 2 (STR2) di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Bandar Meru Raya di Ipoh hari ini.

Anwar mengulas kenyataan Bersih pada 20 Mac lalu yang mempersoalkan dua lagi pelantikan GLC yang diumumkan oleh Zahid membabitkan bekas Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakob sebagai pengerusi Felcra.

Bersih turut mempertikaikan pelantikan bekas naib presiden Amanah, Husam Musa sebagai pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Anwar berkata pelantikan tersebut bukan dibuat terhadap syarikat tersenarai di bursa saham, dan setiap pelantikan berdasarkan kelayakan individu menerusi syarat ketat.

“Jangan andaikan (lantikan) GLC itu seperti sebelumnya. Kita syaratkan (mereka yang dilantik) jalankan tanggungjawab tidak boleh berbelanja lebih daripada ditentukan dan elaun pun dihadkan mengikut kelayakan masing-masing,” katanya.

Azeez kini merupakan timbalan pengerusi Umno Kedah dan telah dibebaskan tahun lepas daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Pelantikannya sebagai pengerusi Keda bukanlah pelantikan pertama diumumkan Zahid yang mendapat perhatian daripada perdana menteri.

Zahid mengumumkan pelantikan semula Ahmad Jazlan sebagai pengerusi Felcra pada Disember tahun lepas, namun seminggu kemudian Anwar mengatakan pelantikan itu telah ditangguhkan.

Pada 15 Mac tahun ini, Zahid mengumumkan pelantikan semula Jazlan sekali lagi, tetapi kali ini dengan persetujuan Anwar.

Baca lagi: https://www.malaysiakini.com/news/661738

Leave a Comment