GAMBAR: AFP
TUJUH rakyat Malaysia yang terkandas di Jakarta akibat pembetalan penerbangan pulang susulan letusan Gunung Anak Krakatau mendapat bantuan apabila seorang wanita Indonesia menawarkan tempat tinggal secara percuma kepada mereka.
Maira Safiraa, yang kini menetap di Malaysia, dikatakan tersentuh selepas mengikuti perkembangan kekecohan penerbangan itu, sebelum mengambil keputusan membuka rumahnya di Jakarta kepada kumpulan terbabit.
Menurut Maira, dia membayangkan bagaimana keadaan dirinya atau keluarganya sekiranya mereka berdepan keadaan ketika berada di negara asing.
Dia kemudian menawarkan rumahnya yang terletak kira-kira 30 minit dari lapangan terbang sebagai tempat perlindungan sementara untuk rakyat Malaysia yang terkandas.
Tiga daripada empat bilik tidur di kediamannya sudah dipenuhi, manakala sebuah lagi masih tersedia, dengan keutamaan diberikan kepada wanita yang melakukan perjalanan bersendirian.
Lebih menarik, mereka yang menumpang tidak dikenakan sebarang bayaran.
Maira berkata bahawa tawaran itu dibuat atas dasar kemanusiaan dan beliau tidak mengharapkan sebarang pembayaran daripada tetamu berkenaan.
Gunung Anak Krakatau terus meletus sejak hari Jumaat, menyebabkan abu gunung berapi menyelubungi beberapa kawasan dan memaksa enam lapangan terbang menutup landasan.
Kesan letusan itu turut merebak ke luar Indonesia apabila penerbangan ke beberapa destinasi termasuk Kuala Lumpur, Singapura, Hong Kong, Sydney, Seoul, Doha dan Amsterdam terjejas.
Menurut Maira, keadaan itu berlaku pada waktu yang kebetulan kerana rumahnya ketika ini hampir kosong selain didiami pembantu peribadinya.
Kehadiran tujuh rakyat Malaysia itu, katanya, secara tidak langsung menjadikan kediamannya lebih meriah berbanding keadaan biasa.
Pihak berkuasa lapangan terbang turut memaklumkan kepadanya bahawa gangguan penerbangan dijangka berterusan sekurang-kurangnya sehingga pukul 12.30 tengah hari esok, malah tempohnya mungkin dilanjutkan sekiranya aktiviti gunung berapi itu tidak reda.
Maira bagaimanapun mengakui tidak mampu menawarkan bantuan sama kepada rakyat Indonesia yang mungkin terkandas di Malaysia kerana ruang di kediamannya sendiri terhad.
Katanya, rumahnya kini sudah dihuni suami, bayi dan pembantu rumahnya.
Bagi tujuh rakyat Malaysia terbabit, pintu rumah seorang insan yang tidak mereka kenali itu kini menjadi tempat berlindung sementara mereka menunggu keadaan kembali pulih.
-BTSMedia.my



