USAHA mengesan 17 rakyat Malaysia yang hilang selepas dilanda banjir kilat di daerah Rasuwa, Nepal, masih menemui jalan buntu apabila operasi pencarian menggunakan helikopter gagal menemukan sebarang petunjuk mengenai kumpulan berkenaan.
Wakil Fishtail Tours & Travels, Roshan Panday, berkata helikopter terbabit melakukan empat pusingan di sekitar lokasi enam kenderaan yang dinaiki kumpulan itu dipercayai dihanyutkan arus deras, namun tiada seorang pun mangsa atau barangan mereka ditemui.
Menurutnya, beberapa rumah turut berada berhampiran kawasan kejadian, tetapi kekuatan arus banjir menyebabkan tiada kesan jelas bangunan berkenaan dapat dilihat.
Beliau berkata keadaan itu menunjukkan arus banjir berada pada tahap amat deras ketika sampai ke lokasi terbabit.
Pasukan pencarian turut memeriksa kawasan hutan berdekatan, walaupun kemungkinan kumpulan itu sempat sampai ke kawasan berkenaan dianggap rendah.
Roshan berkata helikopter kemudiannya terbang pada paras rendah untuk meninjau kawasan sepanjang kira-kira 30 kilometer ke hilir dari lokasi kejadian, namun masih tidak menemukan sebarang barangan yang dipercayai milik kumpulan terbabit.
Dalam perkembangan sama, agensi berkenaan membahagikan petugas kepada tiga pasukan bagi membuat pemeriksaan di beberapa hospital untuk mengenal pasti sama ada terdapat anggota kumpulan itu yang cedera dan menerima rawatan.
Bagaimanapun, katanya, tiada seorang pun daripada kumpulan berkenaan ditemui di hospital setakat ini.
Pasukan itu juga mula menyemak serta memadankan identiti mayat yang ditemukan selepas bencana itu, namun tiada satu pun setakat ini dikenal pasti sebagai anggota kumpulan rakyat Malaysia berkenaan.
Roshan berkata operasi pencarian masih diteruskan.
Beliau menjelaskan kumpulan berkenaan terdiri daripada 27 pelancong yang menaiki enam kenderaan, termasuk 17 rakyat Malaysia, dua warga Amerika Syarikat dan seorang warga Britain.
Mereka turut ditemani tujuh kakitangan Nepal, termasuk seorang doktor perubatan yang menjadi sukarelawan untuk menyediakan bantuan perubatan kepada 20 pelancong yang melakukan perjalanan ke kawasan berketinggian tinggi.
Enam pemandu turut menyertai perjalanan itu, menjadikan keseluruhan kumpulan terbabit seramai 33 orang.
Kesemua17 rakyat Malaysia berkenaan tidak dapat dihubungi sejak banjir kilat melanda Rasuwa.
Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan bagi mengesan keberadaan mereka.
Pada 1 September lalu, Roshan berkata pihak agensi akan menggunakan helikopter persendirian bagi membantu usaha mencari kumpulan terbabit.
-BTSMedia.my



