BTS Media

NACSA siasat dakwaan kebocoran dedah data MyKad 17 juta rakyat Malaysia

AGENSI Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA) sedang menyiasat laporan yang mendakwa bahawa data MyKad 17 juta rakyat Malaysia telah dibocorkan dan dijual di web gelap.

“Ini adalah isu yang membimbangkan orang ramai dan kami memberi jaminan bahawa kami sangat memandang serius (perkara ini),” kata jurucakap dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini (4 Dis), lapor The Star.

NACSA berkata mereka sedang menyiasat dengan teliti untuk mengesahkan kesahihan dakwaan berkenaan dan menilai sejauh mana sebarang kemungkinan data orang ramai bocor.

Firma risikan ancaman web gelap (Dark Web) StealthMole yang pertama kali mengetengahkan isu itu semalam (3 Dis) melalui platform media sosial X, menyatakan bahawa pihak yang melakukan perkara itu mendakwa memperoleh data MyKad milik 17 juta rakyat Malaysia dan menawarkannya untuk dijual di web gelap.

“Sebagai bukti, mereka telah berkongsi secara terbuka sampel kad pengenalan Malaysia di web gelap,” tambah syarikat itu lagi.

“Pelanggaran data besar-besaran ini menimbulkan kebimbangan kerana ia boleh membawa kepada jenayah serius seperti kecurian identiti dan penipuan kewangan.”

NACSA berkata agensi tersebut akan membuat kemas kini apabila lebih banyak maklumat tersedia di samping menggesa orang ramai supaya “mengelakkan daripada menyebarkan laporan yang tidak disahkan dan hanya merujuk kepada maklumat yang sahih daripada pihak berkuasa”.

Agensi itu turut menasihatkan orang ramai supaya tidak klik pautan atau membuka lampiran daripada pengirim yang tidak diketahui, selain menggunakan kata laluan yang kukuh, dan perisian terkini.

-BTS Media

Leave a Comment