MALAYSIA Airlines membatalkan 12 penerbangan pergi dan balik antara Kuala Lumpur dan Jakarta susulan aktiviti letusan Gunung Anak Krakatau yang menyebabkan abu gunung berapi menjejaskan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.
Syarikat penerbangan nasional itu memaklumkan penerbangan MH713, MH712, MH711, MH710, MH717, MH716, MH721, MH720, MH723, MH722, MH725 dan MH724 terpaksa dibatalkan berikutan perkembangan aktiviti gunung berapi berkenaan.
Menurut Malaysia Airlines, pihaknya sedang memantau keadaan yang masih berubah dan akan menyalurkan perkembangan terkini mengenai penerbangan terjejas kepada penumpang dari semasa ke semasa.
Penumpang turut dinasihat memastikan maklumat hubungan mereka dikemas kini menerusi fungsi ‘My Booking’ di laman sesawang Malaysia Airlines bagi membolehkan mereka menerima makluman melalui e-mel dan SMS.
Syarikat itu berkata penumpang juga boleh mendapatkan bantuan menerusi khidmat Live Chat di laman sesawangnya atau menghubungi Pusat Perhubungan Global di talian 1 300 88 3000 bagi panggilan dalam Malaysia dan +603 7843 3000 dari luar negara.
Sementara itu, Bernama melaporkan Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, lapangan terbang utama Jakarta, ditutup sementara pada hari Ahad selepas abu gunung berapi daripada letusan Anak Krakatau dikesan di kawasan lapangan terbang.
Penutupan itu menjejaskan 209 penerbangan dan 22,798 penumpang.
Ketua Pengarah Penerbangan Awam Indonesia, Lukman F Laisa, berkata 16 penerbangan antarabangsa dibatalkan, manakala tujuh lagi mengalami kelewatan dan lima dijadualkan semula.
Beliau berkata penerbangan yang terjejas membabitkan laluan ke dan dari Kuala Lumpur, Singapura, Hong Kong, Sydney, Seoul/Incheon, Doha serta Amsterdam.
Dalam perkembangan berkaitan, Agensi Geologi Indonesia dalam laporan khas yang diterbitkan di laman sesawangnya pada hari Sabtu memaklumkan Anak Krakatau masih berada pada Tahap III atau Siaga, iaitu status yang berkuat kuasa sejak 2 Julai.
Agensi itu berkata gunung berapi berkenaan terus menunjukkan letusan berulang yang menghamburkan material pijar dan abu gunung berapi.
Aktiviti letusan berterusan bersama bunyi gemuruh turut direkodkan bermula pukul 11.07 malam waktu tempatan pada hari Sabtu, dengan fenomena itu menyerupai pancutan lava serta menghasilkan aliran lava.
Zon larangan dalam radius tiga kilometer dari kawasan gunung berapi itu juga kekal dikuatkuasakan.
-BTSMedia.my



