BTS Media

Loke: AirAsia Super App tidak dibenarkan jual tiket Malaysia Airlines

KEMENTERIAN Pengangkutan menggesa pengguna menggunakan laman web rasmi syarikat penerbangan untuk menyemak harga tiket penerbangan sebelum membelinya, dan bukannya bergantung kepada penjual semula tiket dalam talian.

Menterinya, Anthony Loke, berkata dalam kes Malaysia Airlines Bhd, terdapat agensi lain yang menjual tiket penerbangan syarikat penerbangan itu.

Mengulas mengenai isu tiket penerbangan Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Tawau pada 20 April dijual pada harga setinggi RM3,138, beliau berkata terdapat pertikaian berterusan antara syarikat penerbangan itu dan platform.

“Itu pertikaian antara Malaysia Airlines dan AirAsia. Ini yang dimaklumkan kepada saya, Malaysia Airlines tidak membenarkan AirAsia menjual tiket di platform (aplikasi) mereka.

“Terdapat banyak aplikasi yang menjual tiket Malaysia Airlines di platform mereka. Saya telah menghubungi Kapten Izham Ismail (pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Malaysia Airlines) dan saya difahamkan bahawa AirAsia Super App tidak dibenarkan untuk menjual tiket untuk Malaysia Airlines.

“Malaysia Airlines telah memfailkan injunksi terhadap AirAsia Super App berhubung penjualan tiket Malaysia Airlines,” katanya pada sidang media di kementerian itu hari ini.

Semalam, bekas menteri pengangkutan Wee Ka Siong berkongsi catatan bahawa tiket penerbangan ekonomi dari Kuala Lumpur – Tawau pada 20 April untuk Malaysia Airlines mencecah harga RM3,138 dalam aplikasi tersebut.

-BTS Media

Leave a Comment