BTS Media

Tiga individu dijatuh hukuman bersabitkan kesalahan tembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17

Oleh Zainal AS Rashid

MAHKAMAH Belanda pada Khamis mensabitkan kesalahan ke atas tiga lelaki di atas peranan mereka menembak jatuh pesawat penumpang Malaysia Airlines MH17 menggunakan peluru berpandu darat ke udara milik Rusia di Timur Ukraine pada 2014.

Dalam kejadian itu semua 298 orang dalam pesawat yang sedang melintasi ruang udara wilayah yang dikuasai oleh puak pemisah Ukraine terbunuh, lapor AP.

Sabitan itu, bersama hukuman penjara seumur hidup dijatuhkan ke atas dua warga Rusia dan seorang warga Ukraine pro-Moscow yang dibicarakan tanpa hadir, dilihat sebagai mempersalahkan Presiden Rusia Vladimir Putin, walaupun Kremlin sentiasa menafikan sebarang kaitan dengannya.

Perbicaraan yang diadakan di bilik mahkamah berhampiran lapangan terbang Schiphol Amsterdam di mana Penerbangan MH17 berlepas ke Kuala Lumpur, menyerlahkan penglibatan Kremlin.

Berlatarbelakangkan geopolitik pencerobohan Rusia ke atas Ukraine tahun ini, mahkamah memutuskan bahawa Moscow pada 2014 mempunyai kuasa sepenuhnya ke atas keseluruhan wilayah yang diisytiharkan sebelah pihak sebagai Republik Rakyat Donetsk dari mana peluru berpandu itu dilancarkan.

Hakim Hendrik Steenhuis berkata keterangan yang dikemukakan oleh pendakwa raya dalam perbicaraan yang berlangsung lebih dua tahun membuktikan bahawa pesawat Boeing 777 ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu Buk oleh puak pemisah Ukraine pro-Moscow pada 17 Julai 2014.

-BTS Media

Leave a Comment