PAKATAN Harapan (PH) tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang, dalam perkembangan yang berpotensi mengubah percaturan politik negeri itu.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata PH bersedia mempertimbangkan kerjasama dengan mana-mana parti berdasarkan keadaan politik semasa serta keperluan membentuk kerajaan yang stabil.
Menteri Besar Selangor itu berkata, sejarah politik negara menunjukkan bahawa hubungan antara parti boleh berubah mengikut keadaan dan kepentingan semasa.
Menurutnya, PH sebelum ini pernah bekerjasama dengan Umno dan Bersatu, manakala Pas juga pernah menjalinkan kerjasama dengan Bersatu sebelum hubungan itu berakhir.
Beliau berkata perubahan pendirian politik sedemikian bukan sesuatu yang luar biasa kerana politik sentiasa berkembang mengikut keadaan.
“Bersatu? Kalau kita boleh terima bekerjasama dengan Umno, sudah tentu kita boleh terima Bersatu.
“Kita pernah bekerjasama dengan Umno dan sebelum itu dengan Bersatu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Madani Kita bersama komuniti Ampang Jaya hari ini.
Amirudin berkata, episod politik seperti Langkah Sheraton, perpisahan Pas dengan Bersatu dan Umno serta usaha menjalin semula kerjasama antara parti menunjukkan bahawa pakatan politik bukan sesuatu yang bersifat kekal.
Katanya, perubahan sedemikian tidak semestinya harus dilihat sebagai tanda ketidakstabilan politik, sebaliknya boleh dianggap sebagai satu bentuk kematangan baharu dalam politik Malaysia.
Beliau berkata sekiranya perubahan pakatan hanya dilihat sebagai ketidaktentuan politik, ia akan terus dianggap sedemikian, namun jika dilihat dari sudut kematangan politik, ia berpotensi mengubah landskap politik negara.
Pada masa sama, Amirudin menegaskan PH kekal kukuh dan sebelum ini telah menunjukkan keterbukaannya untuk bekerjasama dengan parti lain.
Beliau memberi contoh kesediaan PH membenarkan Barisan Nasional (BN) bertanding di kerusi yang dimenangi PH di Selangor sebagai bukti bahawa kepentingan kestabilan politik boleh mengatasi kepentingan parti.
Mengulas PRN Melaka, Amirudin berkata PH akan bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan, termasuk berhubung bentuk kerjasama dengan parti lain, namun pada masa sama akan memastikan hubungan dalam gabungan itu terus diperkukuh.
Katanya, semua parti politik perlu bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan dan menilai sebarang kerjasama berdasarkan keikhlasan serta komitmen yang jelas untuk memastikan kestabilan dan kemakmuran negara.
Beliau berkata kerajaan perpaduan dibentuk selepas negara berdepan ketidakstabilan politik susulan Langkah Sheraton dan keadaan seperti itu tidak seharusnya berulang.
“Kita tidak mahu mengulangi perkara itu dan kita perlu membentuk kerajaan yang stabil,” katanya.
Amirudin sebelum ini diberi tanggungjawab mengendalikan rundingan berhubung kemungkinan kerjasama pilihan raya antara PH dan BN bagi PRN Melaka.
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini berkata gabungan itu berhasrat mempertahankan kesemua 21 kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya negeri 2021, namun pada masa sama tidak menutup ruang untuk kerjasama pilihan raya.
Dalam PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi, manakala PH memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.
Dalam perkembangan berkaitan, Pas dilaporkan telah mengadakan rundingan awal dengan Umno mengenai kemungkinan kerjasama BN-PN di Melaka, namun Bersatu tidak dilibatkan dalam rundingan berkenaan.
Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, pula berkata PN bersedia meninggalkan kerjasama dengan BN sekiranya BN memilih untuk bertanding bersama PH.
-BTSMedia.my



