BTS Media

Pakatan nafi pintu tutup untuk kerjasama dengan Bersatu berdepan PRU15

GAMBAR ATAS: Malay Mail

 

Oleh Zainal AS Rashid

Pakatan Harapan (PH) tidak pernah menutup pintu kepada perbincangan untuk bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelang pilihan raya umum ke-15.

Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata persefahaman politik antara parti boleh dibuat dalam pelbagai bentuk bagi mengelak pertembungan seperti yang berlaku sewaktu pilihan raya negeri di Melaka dan Johor, lapor Mingguan Malaysia pada Ahad.

Beliau berkata perkara itu tidak timbul sama sekali buat masa ini, tetapi ini tidak bermakna mereka telah menutup pintu sepenuhnya kerana pendekatan politik PKR adalah untuk bersedia meneroka sebarang potensi kerjasama dalam apa jua bentuk.

“Jika kita tidak boleh lakukan dengan cara kerjasama, mungkin kita boleh putuskan melalui persefahaman politik, banyak cara kita boleh buat,” katanya dalam wawancara dengan Utusan Malaysia edisi Ahad.

Kenyataan Saifuddin Nasution menyusul berikutan pengakuan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini berhubung perbincangan dengan Presiden Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad tentang potensi kerjasama untuk pilihan raya umum akan datang.

Muhyiddin berkata pemimpin parti politik yang ditemuinya menyedari bahawa sebahagian besar pengundi menolak Barisan Nasional (BN) kerana kaitan dengan kleptokrasi.

Bagaimana pun, pertandingan pelbagai penjuru hanya mengakibatkan undi berpecah antara parti bukan BN.

Bersatu merupakan sebahagian daripada gabungan PH menjelang pilihan raya umum lalu pada 2018.

-BTS Media

Leave a Comment