BTS Media

Bekas pengerusi Tabung Haji antara dua pegawai kanan ditahan SPRM

BEKAS Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) antara dua bekas pegawai kanan kerajaan yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan berkaitan penemuan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai institusi itu.

Seorang lagi yang ditahan ialah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Kedua-dua lelaki berusia lingkungan 60-an itu hadir di Ibu Pejabat SPRM kira-kira pukul 4 petang sebelum ditahan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman, mengesahkan penahanan berkenaan ketika dihubungi.

Menerusi akaun TikTok rasminya hari ini, SPRM memaklumkan kedua-dua individu berkenaan dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi mendapatkan perintah reman.

Penahanan itu merupakan perkembangan terbaharu dalam siasatan SPRM terhadap perkara yang dibangkitkan dalam laporan RCI mengenai TH.

Pada 21 Ogos lalu, seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH direman selama tujuh hari sehingga 27 Ogos bagi membantu siasatan berhubung penemuan RCI.

Sebelum ini, SPRM turut menahan dan memanggil tujuh individu lain untuk membantu siasatan, termasuk bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat perkapalan, seorang pengarah syarikat pembinaan, bekas pengarah syarikat serta empat bekas pegawai kanan pengurusan TH.

Laporan RCI mengenai TH yang dinyahklasifikasi dan didedahkan kepada umum selepas empat tahun mengemukakan 25 syor utama bagi memperkukuh ketelusan, profesionalisme dan tadbir urus institusi berkenaan.

Antara syor utama ialah larangan terhadap ahli politik yang masih aktif daripada menganggotai Lembaga Pengarah TH bagi mengelakkan campur tangan politik.

Siasatan itu turut mendapat titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, supaya siasatan terhadap laporan RCI dijalankan secara menyeluruh sehingga setiap persoalan terjawab.

SPRM sebelum ini turut mendedahkan penemuan lapan lagi isu berkaitan pelaburan dalam siasatan susulan laporan RCI.

Penemuan itu berasingan daripada enam isu yang pada awalnya dirujuk kepada SPRM, menjadikan jumlah keseluruhan kertas siasatan yang dibuka sebanyak 14.

Lapan isu tambahan berkenaan terutama membabitkan pelaburan dan keputusan berkaitan pelaburan.

SPRM menambah enam pegawai penyiasat bagi mengendalikan isu baharu itu dan tidak menolak kemungkinan menambah anggota jika diperlukan.

Suruhanjaya itu juga sedang mempertimbangkan khidmat pakar forensik luar bagi membantu meneliti dokumen serta bahan bukti.

Siasatan terhadap laporan RCI berkenaan dimulakan pada 31 Julai lalu, selepas laporan itu dinyahklasifikasi.

-BTSMedia.my

Leave a Comment