BTS Media

Serangan baharu gegar selatan Thailand, 48 jam selepas 51 lokasi diserang

SELATAN Thailand kembali digegarkan dengan kejadian letupan dan tembakan apabila sebuah kedai 7-Eleven di daerah Mayo, Pattani, diserang malam tadi, hanya kira-kira 48 jam selepas serangan serentak dilancarkan di 51 lokasi di tiga wilayah.

Kejadian terbaharu itu berlaku kira-kira pukul 8 malam waktu tempatan di Kampung 3, daerah kecil Langa.

Beberapa lelaki bersenjata dilaporkan memasuki kedai tersebut, mengarahkan semua pekerja keluar, sebelum satu letupan berlaku, disusuli tembakan.

Setakat ini, pihak berkuasa masih belum mengesahkan sama ada kejadian itu mengakibatkan kecederaan atau kerosakan harta benda.

Serangan tersebut berlaku selepas siri serangan pada malam hari Sabtu, yang menyasarkan 51 lokasi di Narathiwat, Pattani dan Yala.

Serangan yang turut membabitkan penggunaan alat letupan buatan sendiri (IED) itu mencederakan dua orang, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan tercetusnya semula keganasan di wilayah sempadan selatan negara berkenaan.

BTSMedia.my

Leave a Comment