BTS Media

Beberapa letupan bom gegar selatan Thailand

GAMBAR ATAS: Bangkok Post.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

BEBERAPA letupan bom dan kebakaran dilaporkan berlaku di sekurang-kurangnya 17 lokasi di selatan Thailand pada Rabu (17 Ogos).

Menurut kenyataan polis dan tentera, apa yang dilihat sebagai serangan terancang itu mencederakan tujuh orang.

Kejadian berlaku selepas tengah malam dan menyasarkan kedai serbaneka dan sebuah stesen minyak di tiga wilayah, selain mencederakan sekurang-kurangnya tujuh orang.

Setakat ini belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Wilayah-wilayah selatan Thailand di sepanjang sempadan dengan Malaysia menyaksikan pemberontakan sejak sekian lama berikutan tuntutan kemerdekaan oleh beberapa kumpulan pejuang Islam di Pattani, Yala, Narathiwat dan beberapa bahagian Songkhla.

Menurut kumpulan pemantau Deep South Watch (https://deepsouthwatch.org/th) sejak konflik bermula pada 2004, lebih 7,300 orang telah terbunuh.

Usaha rundingan damai bermula pada 2013.

Serangan hari ini berlaku selepas kerajaan Thailand pada awal tahun menyambung semula perbincangan dengan kumpulan pejuang utama, Barisan Revolusi Nasional, setelah tergendala selama dua tahun akibat pandemik Covid-19.

Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (PULO), yang diketepikan daripada pusingan terbaharu rundingan, mendakwa rundingan itu tidak inklusif. Namun demikian, Kerajaan Thailand telah menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan semua kumpulan.

-BTS Media

Leave a Comment