BTS Media

Banjir Selatan Thailand: Penduduk Pattani guna bot harungi jalan raya banjir

Oleh Yusoff A. Shariff

DI SELATAN Thailand, bandaraya Pattani dilanda air banjir sedalam hampir dua meter pada Khamis apabila Sungai Pattani melimpah dan menyebabkan banjir di seluruh kawasan.

Banjir yang menjejaskan 462 kampung di semua 12 daerah wilayah itu, menyebabkan kira-kira 90,000 penduduk mengalami kesukaran.

Penduduk di daerah Muang, bandaraya Pattani bertukar daripada kereta kepada bot apabila jalan raya menjadi sungai, lapor ANN.

Timbalan Gabenor Pattani, Trakool Totham mengarahkan supaya lebih banyak bungkusan bantuan diagihkan kepada mangsa banjir di daerah Yarang, yang dilanda banjir empat hari berturut-turut.

Jabatan Meteorologi Thai meramalkan hujan petir monsun terpencil di Pattani dan seluruh bahagian bawah Selatan pada Jumaat (23 Dis).

Ombak diramalkan mencecah hingga dua meter di bahagian bawah Teluk Siam, dan dijangka lebih tinggi semasa ribut petir, tambahnya.

“Semua aktiviti perkapalan diingatkan supaya beroperasi secara berhati-hati dan mengelakkan kawasan ribut petir,”  kata Jabatan Meteorologi.

-BTS Media

Leave a Comment