BTS Media

KEMASKINI: Kejadian letupan, tembakan di Tak Bai, Selatan Thailand

 

Oleh Zainal AS Rashid

Kumpulan militan meletupkan tiang-tiang elektrik dan menabur pancang untuk memancitkan tayar kenderaan yang melalui sebatang jalan raya untuk memotong hubungan ke sebuah balai polis marin sebelum menyerangnya.

Serangan menggunakan bom dan senjata automatik oleh penyerang yang belum dapat dikenal pasti kumpulannya itu berlaku di daerah Tak Bai pada kira-kira pukul 9.35 malam Rabu (25 Mei).

Seramai tiga anggota keselamatan Thai mengalami kecederaan, lapor Bangkok Post.

Kira-kira tujuh tiang elektrik ditumbangkan bagi menghalang lalu lintas di Jalan Tabapoyoh-Hua Khlong dan menyebabkan bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan perbandaran Tak Bai.

Rangka kenderaan yang musnah terbakar terkena bom yang dilontar oleh penyerang dapat dilihat awal pagi Khamis dalam perkarangan balai polis tersebut.

Terdahulu, awal pagi ini beberapa video serangan itu ditularkan melalui media sosial oleh penduduk Tak Bai, dan juga penduduk seberang sempadan Malaysia Thai di Pengkalan Kubor, Kelantan.

-BTS Media

Leave a Comment