POLIS merampas telefon bimbit milik pentadbir laman Facebook rasmi Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, bagi membantu siasatan berhubung beberapa laporan yang dibuat terhadap pemimpin parti itu.
Setiausaha politik Abdul Hadi, Mohd Syahir Che Sulaiman, mengesahkan bahawa polis turut merekodkan keterangan Presiden PAS itu di Kuala Lumpur minggu lalu.
Menurutnya, Abdul Hadi memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan dan bersedia menghadapi sebarang tindakan lanjut sekiranya didakwa di mahkamah.
Beliau berkata, Abdul Hadi juga bersedia menjawab segala dakwaan terhadapnya melalui proses perundangan.
Siasatan itu dipercayai berpunca daripada laporan yang dibuat penyokong DAP berhubung satu hantaran yang diterbitkan di laman Facebook rasmi Abdul Hadi baru-baru ini.
– BTSMedia.my



